Menyingkap Fenomena Pertembungan Kebenaran dan Kebatilan

Menyingkap Fenomena Pertembungan Kebenaran dan Kebatilan
Menyingkap Fenomena Pertembungan Kebenaran dan Kebatilan

Thursday, June 19, 2014

KONFLIK TERBARU IRAQ ANCAM KEAMANAN SERANTAU, BUKAN KONFLIK SEKTARIAN


Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
20 Jun 2014 bersamaan 22 Syaaban 1435H
KONFLIK TERBARU IRAQ ANCAM KEAMANAN SERANTAU, BUKAN KONFLIK SEKTARIAN
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) prihatin dengan perkembangan terbaru di Iraq yang sekali lagi memerangkap rakyat Iraq dalam konflik sektarian berdarah. Perpaduan rakyat Iraq sekali lagi diuji dengan ancaman campur tangan negara luar seperti Iran dan Amerika Syarikat.
Konflik terbaru di Iraq membangkitkan kebimbangan apabila wujud cubaan untuk menyembunyikan maklumat yang sahih dan memfokuskan konflik kepada penglibatan unsur pelampau kumpulan Sunni. Gerakan kebangkitan rakyat Iraq kumpulan Sunni terhadap ketidakadilan rejim Baghdad diperlihatkan seolah-olah hanya tindakan kumpulan militan pelampau Islamic State of Iraq and Levant (ISIL).
Fokus keterlaluan yang diberikan kepada kumpulan pelampau ini telah mengesampingkan hakikat sebenar yang membelakangi konflik terbaru di Iraq.
Umum maklum mengenai pencerobohan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iraq ketika zaman pemerintahan Saddam Hussein pada 2003, dengan dalih palsu senjata pemusnah massa (WMD). Sejak itu, Iraq telah terperangkap dalam konflik sektarian berdarah.
Kegagalan pihak kerajaan Iraq pimpinan Perdana Menteri Nuri al-Maliki, seorang pelampau Syiah menyelesaikan isu sektarian ini dengan segera dan membina semula negara Iraq sesuai dengan aspirasi rakyat, telah memburukkan lagi keadaan sehingga rakyat Iraq kini bangkit menentang kerajaan sedia ada.
Persatuan Ulama Iraq telah mengeluarkan kenyataan rasmi selepas kemaraan pantas rakyat Iraq mengusir tentera Iraq di wilayah Mosul dan wilayah-wilayah utara Baghdad, mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab memberikan tumpuan utama kepada ISIL dan cuba menyembunyikan kebangkitan rakyat yang berlaku. Tindakan ini hanya akan memberikan alasan kepada campur-tangan pihak luar yang pastinya akan memburukkan lagi keadaan.

Di sebalik semua ini, semua pihak tidak boleh mengabaikan tangggungjawab memelihara kesatuan umat dan integriti wilayah-wilayah di Iraq. Kerajaan Iraq perlu dipimpin oleh wajah-wajah baharu yang akan berusaha keras menangani perbezaan politik dan fahaman agama, serta memperbaiki kelemahan pemerintahan, ketidakadilan, penyalahgunaan kuasa dan memastikan kestabilan dan keselamatan negara. Rakyat dan para pemimpin Iraq juga perlu menahan diri daripada mengubah wajah kebangkitan rakyat ini kepada konflik sektarian berdarah Sunni-Syiah.

IKRAM menyeru warga antarabangsa, khususnya Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam (OIC) untuk berusaha menyatukan pihak-pihak yang bertelagah bagi menyelesaikan konflik yang berlaku. IKRAM juga menyeru semua pihak untuk memberikan sepenuh komitmen menyelesaikan konflik ini secara aman dan menghormati aspirasi rakyat Iraq bagi mengelak satu lagi tragedi kemanusiaan di rantau itu.

Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia



http://www.middleeasteye.net/topics/iraqatwar

No comments:

Post a Comment